Tempat-tempat menarik dibandaraya Kuching, Sarawak

Tempat Menarik di Kuching

Rabu, 18 September 2013

Perarakan Kapal Berhias Malam Gemilang 50 Tahun Sarawak Merdeka meriah

KUCHING: Ribuan rakyat Sarawak termasuk pengunjung dari dalam dan luar negara membanjiri Tebingan Kuching  bagi menyaksikan Perarakan Kapal Berhias Malam Gemilang 50 Tahun Sarawak Merdeka.

Meskipun terpaksa berhujan, namun ia tidak menghalang orang ramai untuk terus setia menyaksikan perarakan tersebut bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Acara pada malam itu dimulakan dengan upacara simbolik pelancaran oleh Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Halim diringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.Selesai simbolik pelancaran, acara diteruskan dengan pertunjukan skrin air yang memaparkan pencapaian dan kemajuan yang telah dicapai oleh Sarawak sepanjang tempoh 50 tahun merdeka dalam Malaysia diikuti pertunjukan bunyi dan lampu.

Cuaca dingin di sekitar Tebingan Kuching kemudiannya dihangatkan dengan acara yang dinanti-nantikan iaitu perarakan kapal berhias melibatkan 42 peserta terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan korporat. Mendahului peserta berarakan ialah kapal Kerajaan Negeri Sarawak yang menggambarkan pembangunan serta kemajuan yang telah dicapai di Sarawak sepanjang 50 tahun merdeka dalam Malaysia.

Tumpuan kemudiannya diberikan kepada kemunculan kapal-kapal badan korporat seperti RECODA, SALCRA, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Perbadanan Pembangunan Industri Perkayuan Sarawak (PUSAKA), Cahya Mata Sarawak, Naim Holding Berhad dan Ibraco Pelita Sdn Bhd.


 

Lain-lain peserta termasuklah Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Tanah dan Survei, Kumpulan Yayasan Sarawak, Lembaga Air Kuching, Lembaga Pelabuhan Kuching, Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, Sarawak Energy Berhad dan Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia.

 

Samling Group, Boulevard Shopping Mall & Shin Yang Shipping, Electra House Sdn Bhd, Lan Berambeh, Persatu Kayu-kayan Sarawak (STA), Lembaga Sungai-sungai Sarawak bersama-sama 11 Pejabat Residen di seluruh Sarawak turut menyertai perarakan.

Dalam pada itu sebelum keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah meninggalkan majlis sekitar jam 10.30 malam, tetamu dan semua pengunjung di Tebingan Kuching disajikan dengan pertunjukan bunga api berirama.

Turut menyertai perarakan tersebut ialah enam kementerian kerajaan yang lain iaitu Kementerian Pelancongan Sarawak, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Kementerian Pembangunan Sosial, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak dan Kementerian Permodenan Pertanian dan Jabatan Pertanian Sarawak.

Sumber daripada The BorneoPost Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...