Tempat-tempat menarik dibandaraya Kuching, Sarawak

Tempat Menarik di Kuching

Selasa, 11 Mac 2014

7,000 peserta dijangka sertai ‘Sarawak Walk of Love’ 5 April

KUCHING: Seramai 7,000 peserta dijangka menyertai program ‘Sarawak Walk of Love – Purple Walk: Toward the Strenghtening of Families Institutions’ dengan laluan sejauh 2.7 kilometer pada 5 April depan, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah. Menurutnya, program anjuran bersama Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKPWK) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berlangsung di Le’ Park, di sini. 
“Pelaksanaan program ini berkonsepkan karnival melibatkan penyertaan masyarakat umum seramai mungkin dan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang berminat mempromosikan NGO masing-masing bagi mendapatkan penyertaan keahlian sesuai dengan tema yang dianjurkan.

“Selain itu, pelaksanaan aktiviti di bawah program ini menitikberatkan penyertaan secara bekeluarga dan secara langsung akan merapatkan hubungan antara ahli keluarga dan seterusnya dapat mengukuhkan institusi keluarga selaras dengan hasrat kerajaan untuk membina keluarga yang bahagia dan cemelang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media program tersebut di Wisma Wanita, Biro Wanita di sini, semalam. Fatimah berkata, selain keutuhan ikatan kekeluargaan yang hendak diterapkan, acara senaman dan berjalan beramai-ramai yang akan dilaksanakan nanti merupakan suatu amalan hidup sihat. Ini kerana, jelasnya, ia amat dituntut bagi memastikan kehidupan yang lebih ceria dan aktif dalam menghadapi kehidupan harian yang semakin mencabar.

“Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk mempromosikan NGO masing-masing bagi mendapatkan penyertaan atau keahlian masyarakat umum.

“Selain dapat memperkukuhkan institusi keluarga dan mempromosi kehidupan sihat, program ini diadakan sempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun,” ujarnya.

Jelas Fatimah lagi, perjalanan ‘Sarawak Walk of Love’ tahun ini melibatkan laluan Padang Merdeka dan Tebingan Kuching. Selain itu, tambahnya, laluan kedua sejauh 1.5 kilometer turut disediakan bagi peserta yang tidak dapat berjalan jauh.

“Selain berjalan kaki ‘Sarawak Walk of Love,’ diadakan senamborik, perkelahan keluarga, persembahan pentas, sukaneka keluarga serta pameran dan jualan.

“Sehingga kini sebanyak 60 buah gerai sudah mengesahkan penyertaan di bawah 30 buah khemah,” katanya.

Kepada yang berminat sila datang ke Jabatan Kebajikan Masyarakat di Bangunan Masja 082-449140 untuk mengisi borang pendaftaran yang perlu dikembalikan sebelum 28 Mac 2014.

Terdahulu, Fatimah mengharapkan penumpang dan kru MH370 yang masih hilang sehingga kini dapat ditemui sedikit masa lagi.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar keselamatan mereka dan semoga Tuhan permudahkan segalanya,” katanya sebak.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Setiausaha Tetap KKPWK Rodziah Morshidi, Persatuan Tenis Sarawak Datuk Patrick Liew dan Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad.



Sumber dari www.theborneopost.com pada 11 Mac 2014.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...