Tempat-tempat menarik dibandaraya Kuching, Sarawak

Tempat Menarik di Kuching

Sabtu, 22 Februari 2014

Masjid India akan dibina di atas Sungai Sarawak


CANTIK: Rekaan Masjid India baharu yang terletak di atas Sungai Sarawak, Esplanade Kuching.
KUCHING: Masjid Bandar Kuching atau lebih dikenali sebagai Masjid India yang merupakan masjid tertua di Sarawak bakal dibina baharu tahun ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, masjid baharu itu akan dibina pada Jun tahun ini di tapak baharu di atas Sungai Sarawak di Esplanade Kuching.

Menurutnya, pembinaan Masjid India baharu itu dianggarkan menelan kos sebanyak RM6 juta dan kini proses penyiapan pelan sedang dijalankan.

“Kami telah meluluskan cadangan untuk membina Masjid India baharu ini dan kami akan bina di atas Sungai Sarawak, Esplanade Kuching berdekatan dengan jeti seolah-olah terapung.

“Kerja-kerja membina masjid baharu ini dijangka akan bermula Jun tahun ini dengan anggaran kos sebanyak RM6 juta dan proses tender pula sekitar April selepas pelan siap sepenuhnya,” katanya ketika mengulas mengenai cadangan membina baharu Masjid India semasa dihubungi semalam.

Namun, Masjid India yang dibina sejak tahun 1834 itu tidak akan diroboh untuk dikekalkan sebagai tapak warisan bagi tarikan pelancong ke bandar raya Kuching.

Malah, masjid lama juga akan dibaik pulih bagi mengekalkan dan menjaga struktur asasnya supaya warisan berharga bandar raya Kuching itu dapat dikekalkan.

Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur memberitahu Masjid India baharu itu direka bentuk seakan-akan Masjid Istanbul, namun mempunyai kelainan dan tarikan tersendiri.

“Masjid India baharu ini terapung seperti masjid di Istanbul tetapi kita tidak mengikut seratus peratus masjid itu…  ia mempunyai kelainan dan tarikan tersendiri,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai masjid baharu itu, beliau menjelaskan bahawa ia akan memuatkan maksimum seramai 1,200 jemaah bagi ruangan dalam dan luar.

“Kerja-kerja pembinaan masjid ini akan mengambil masa selama 18 bulan dan sekiranya pelan dapat disiapkan awal mungkin proses pembinaan dapat diawalkan,” ujarnya.

Info dari The Borneo Post pada 21 Feb 2014.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...