Tempat-tempat menarik dibandaraya Kuching, Sarawak

Tempat Menarik di Kuching

Ahad, 17 Jun 2012

Euro 2012 hangat di Emmillie Cafe

SUASANA di Emmillie Cafe, Kuching yang sentiasa dipenuhi peminat bola sepak sepanjang Euro 2012 berlangsung.




KEJOHANAN Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 yang telah seminggu berlangsung sejak 8 Jun lalu semakin hangat dan meriah.

Kemeriahannya bukan sekadar dirasai oleh negara tuan rumah Poland dan Ukraine serta di Eropah tetapi ia turut dirasai di beberapa premis makanan serta minuman di seluruh Malaysia.

Di Kuching, Sarawak premis makanan sentiasa dipenuhi peminat bola pada setiap hari bermula lewat tengah malam hingga ke awal pagi.

Pusat tumpuan peminat Euro 2012 di Kuching ialah di Emmillie Cafe yang sememangnya popular dalam kalangan peminat bola sepak untuk bersantai menikmati juadah malam sambil menonton perlawanan Euro 2012 mahupun Liga Perdana England dan Liga Super.

Pengusaha Emmillie Cafe, Ahmed Eli Firdaus, 24, berkata, kali ini pihaknya menyediakan enam skrin besar dan lima televisyen bersaiz 42 inci untuk para peminat menyaksikan Euro 2012.

“Premis Emmillie Cafe mampu menampung antara 300 hingga 500 orang pada satu-satu masa.

“Sudah pastinya Emmillie Cafe ada menyediakan pelbagai juadah makanan sama ada masakan tempatan atau ala barat untuk dinikmati oleh para peminat bola sepak yang berkunjung ke kafe ini untuk menyaksikan perlawanan Euro 2012,” katanya kepada Kosmo! di Kuching semalam.

Emmillie Cafe yang beroperasi sejak dua tahun lalu terletak di Lot 811, Sec. 65 Shoplot KTLD, Jalan Dahlia di Laruh Skim Petra Jaya, Sarawak. Ia memulakan operasi pada pukul 3 petang hingga 6 pagi setiap hari sepanjang Euro 2012.

Tinjauan Kosmo! di Emmillie Cafe mendapati premis berkenaan menyediakan suasana yang kondusif dan terkini kepada para pelanggan dan ia bersesuaian dengan cita rasa semua lapisan masyarakat.

Apa yang menarik, Ahmed memberitahu, pihaknya turut memasang bendera-bendera pasukan yang bersaing pada Euro 2012 bagi memeriahkan lagi suasana kejohanan tersebut di kafe berkenaan.

“Pekerja di kafe ini turut memakai jersi pasukan-pasukan yang bertanding malah ada yang mengecat wajah masing-masing dengan bendera negara-negara yang bersaing itu sebagai tanda sokongan terhadap Euro 2012.

“Kita berharap peminat bola sepak dapat sama-sama memeriahkan Euro 2012 di Emmillie Cafe dan kita jangka suasana akan lebih meriah dan rancak apabila perlawanan masuk ke pusingan kalah mati dan final,” ujar Ahmad penuh yakin.

Oleh SOPI SAMAILE
sopi.samalie@kosmo.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...